Tidak Ramai Tahu 3 Formula Ini Sebenarnya Dapat Membantu Tingkatkan Kemahiran Bahasa Inggeris.

Picture of Prebagaran

Prebagaran

CEO | Performance Coach | Instructional Design Specialist

Disember 1993  lalu merupakan salah satu hari yang sangat penting dalam hidup saya. Tugas saya sebagai salah seorang pegawai pelajaran di Pusat Latihan Tentera Laut DiRaja Malaysia di Lumut, Perak bermula pada hari tersebut. Diantara tugas yang dipertanggungjawabkan kepada  saya adalah mengajar pengucapan awam atau public speaking kepada para pegawai kadet TLDM.

Walaupun sebenarnya saya seorang graduan Sains Pendidikan dengan pengkhususan dalam bidang Kimia, tetapi biasalah, pada zaman 90an dahulu, graduan seperti saya sering dianggap ‘berpendidikan tinggi’ dan hebat dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Maklumlah, pada masa itu negara kita hanya ada 6 universiti awam sahaja berbanding lebih 100 universiti sekarang. Walaupun agak risau, saya menerima tugas  ini dengan penuh tanggungjawab dan mula membuat persiapan yang sewajarnya untuk menjalankan kelas Public Speaking tersebut.

Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Seramai hampir 60 orang kadet telah berkumpul di dewan kuliah pusat latihan TLDM. Pegawai Memerintah Pusat Latihan TLDM dan beberapa orang pegawai kanan TLDM yang terlibat turut juga hadir. Tidak lama selepas pembukaan majlis dan kata-kata aluan dari beberapa pegawai, pengerusi majlis pada hari itu terus memperkenalkan saya sebagai seorang pegawai pelajaran yang baru dan memuji-muji kehebatan saya dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan betapa malunya saya, Tuhan sahaja yang tahu.

Tiba giliran saya untuk memulakan sesi kelas pengucapan awam atau public speakingtersebut. Walaupun telah membuat persiapan yang rapi, saya sangat-sangat gemuruh. Saat tengah gemuruh ini pula, tajuk yang saya hendak mengajar itu pula ialah ‘Bagaimana mengatasi rasa gemuruh semasa pengucapan awam’. Memang betul-betul kena di batang hidung sendiri. Tangan saya memang menggeletar teruk, muka saya pula merah menyala. Nasib baik, kulit saya gelap sedikit, kalau tidak pasti para pelajar saya akan perasan. Begitulah saya ketika mula-mula mengajar dahulu.

Namun, selang beberapa minit selepas itu saya berjaya mengatasi kesemua ‘rintangan’ tadi. Saya menjadi lebih tenang dan fokus untuk meneruskan kelas saya tadi. Walaupun kelas saya berjalan agak baik pada hari itu, saya sedar ada banyak perkara yang saya perlu perbaiki. Pada keesokan harinya, salah seorang pegawai kanan TLDM memuji inisiatif saya untuk mengajar public speaking kepada para pegawai kadet. Dalam pujian itu juga, beliau selitkan beberapa cadangan untuk menambahbaik kaedah pengajaran Bahasa Inggeris saya agar impaknya lebih positif. Cadangan tersebut memang tepat pada masanya, saya betul-betul menghargai nasihat tadi. Ia nampak mudah tetapi amat efektif. Mungkin anda juga boleh mendapat manfaat dari cadangan tersebut.

Tingkatkan kekerapan bercakap, walaupun anda tidak mahir. Ramai orang malu bercakap Bahasa Inggeris kerana tidak fasih. Tapi kita  tahu bahawa kefasihan memerlukan latihan. Anda tentu ingat dahulu masa kita kecil, kita semua mula belajar bahasa ibunda masing-masing dengan bercakap tanpa malu dan segan dengan penuh selesa dengan ibu, ayah dan adik-beradik kita betul tak? Walaupun perkataan dan ayat yang kita guna kelam-kabut, kita tetap bercakap dan terus bercakap.

Biasanya kita mahir bercakap bahasa ibunda semasa berumur hampir 5  tahun. Waktu itu kita masih kecil dan belum lagi bersekolah. Sebaik sahaja kita mula berada di alam persekolahan pada umur 7 tahun,  kita diajar Bahasa Inggeris oleh guru yang terlatih berdasarkan sukatan pelajaran yang ada. Namun ramai yang tidak mahir berbahasa Inggeris selepas lebih 10 tahun belajar. Kenapa? Jawapannya ialah kurangnya latihan. Ini sebab yang paling utama. Apa pun yang kita buat, dengan latihan kita pasti akan berjaya. Jadi, kefasihan harus juga bermula dengan latihan. Maka kita tidak perlu malu dengan kesilapan. Di peringkat awal, kita perlu selesa membuat kesilapan dan fokus kepada penyampaian (bercakap dan menulis) dan penerimaan maklumat (mendengar). Kesilapan tatabahasa atau grammar dan sebutan adalah perkara biasa, jangan risau. Dahulu, kita mahir menguasai bahasa ibunda masing-masing kerana ibu bapa kita tidak terlalu fokus kepada mengajar secara teknikal bahasa tetapi fokus kepada cara dan bagaimana komunikasi bahasa tersebut dilakukan dengan penuh kasih sayang. Gunakan kaedah ini.

Pastikan suasana komunikasi yang kondusif dan ‘selamat’. Suasana yang kondusif dan selamat bermaksud kita fokus kepada pemahaman dalam penyampaian dan penerimaan maklumat, dan bukannya menilai dari aspek tatabahasa atau grammar yang salah. Pastikan keadaan yang selamat dari sudut emosi. Malcolm Knowles, salah seorang pakar pendidikan orang dewasa, yang dikenali sebagai Andragogi menegaskan betapa pentingnya ‘suasana yang selamat’ tadi. Kita tidak dinilai sebagai bijak atau kurang bijak.

Dalam konteks kemahiran berbahasa Inggeris, anda perlu mencari rakan-rakan yang mempunyai niat yang sama seperti anda. Pastikan kita sedar bahawa niat kita ialah untuk mempunyai suasana belajar yang kondusif dari segi sosial dan emosi. Untuk mendapat hasil yang baru, kita perlu mempunyai strategi yang baharu. Ingat, kemahiran berbahasa Inggeris bukan untuk menunjuk-nunjuk yang kita ini lebih pandai atau lemah. Orang yang pandai di Jepun mungkin tidak mahir berbahasa Inggeris dan orang yang  lemah di England mungkin mahir berbahasa Inggeris. Jadi, jangan berputus asa. Bahasa Inggeris hanyalah satu bahasa, itu sahaja. Kita semua mampu mempunyai kemahiran ini dengan latihan yang konsisten dan berterusan. Dengan berlatih dalam suasana yang selamat dari segi sosial dan emosi, kita akan lebih tenang untuk berlatih sehingga berjaya.

Jadi ahli kelab ToastmastersDream don’t work unless we do!  Cita-cita kita untuk menjadi mahir hanya akan menjadi realiti kalau kita ambil tindakan. Mimpi sahaja tidak mencukupi, anda perlu lakukan sesuatu. Kalau saya jadi anda, saya akan memperbaiki bahasa Inggeris saya menyertai kelab Toastmasters sebagai ahli berdaftar. Bagi saya, ini kaedah yang paling berkesan. Toastmasters adalah satu organisasi sosial yang bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1924. Ia telah membantu berjuta-juta orang di seluruh dunia untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Rahsia kejayaan Toastmasters adalah ia menyediakan suasana yang kondusif dan peluang berlatih yang banyak. Di Toastmasters, kesilapan diraikan sebagai peluang untuk belajar.

Saya merupakan ahli Samudera Toastmasters Club  di Lumut, Perak hampir 15 tahun yang lalu. Keahlian Toastmasters telah membantu saya untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan efektif pada masa yang singkat. Pengalaman menggeletar di Pusat Latihan TLDM pada tahun 1993 merupakan satu kenangan manis. Hasil dari tunjuk ajar dan bimbingan rakan–rakan di Toastmasters telah membantu saya jadi juara Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai District 51 dalam pertandingan public speaking Toastmasters International (impromptu speech) pada tahun 2012. Saya yakin, Toastmasters akan dapat membantu anda. Apa yang perlu anda lakukan ialah mencari di laman web Toastmasters, dan saya pasti anda akan menjumpai kelab Toastmasters yang berhampiran rumah anda.

Ini rahsianya, tiga formula ini mampu membantu anda meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Jangan jadikan diri anda sebahagian dari statistik pengangguran akibat kelemahan anda berbahasa Inggeris. Kelemahan berbahasa Inggeris juga sering menjadi penghalang dalam kemajuan kerjaya dan perniagaan anda. Dalam dunia yang serba digital hari ini, seluruh dunia kini tiada lagi sempadan. Jadi kebolehan berbahasa Inggeris sangat-sangat penting untuk membentuk penjenamaan diri anda dengan lebih baik agar lebih dipercayai.

0 (3)
Facebook
Twitter
LinkedIn

Search

Search

next Best Read

Be part of praba Circle

Don’t miss any of my latest articles and knowledge sharing

Related post

READY TO TAKE YOUr organisation TO THE NEXT LEVEL?

Schedule a strategy call today and we will go through the problems that you are currently facing that is hampering your organization’s true ability to make an impact